Payudara Dihisap Suami Ketika Hamil

Apakah hukum seorang suami gemar menghisap payu dara isteri sambil terminum susunya sewaktu melakukan hubungan seks. Ini kerana suami saya amat gemar melakukan perbuatan tersebut dan saya juga menikmatinya. Pada masa yang sama, saya menyusukan anak perempuan berusia 10 bulan.
JAWAPAN:
Persetubuhan antara seorang lelaki dan perempuan menjadi halal melalui pernikahan yang sah. Nikah yang sah menjadi portfolio untuk mengadakan persetubuhan. Islam menghalalkannya dengan nikah dan mengharamkannya bagi mereka yang tidak bernikah.
Melalui perkahwinan tertunailah segala keinginan seorang lelaki dan keinginan seorang wanita. Fitrah semulajadi manusia telah dilengkapkan dengan keinginan ini. Mereka yang hidup dengan menahan dan mengorbankan keinginan fitrah nafsunya berhadapan dengan pelbagai masalah di antaranya; psikologi yang terganggu, ketidakstabilan emosi, seterusnya membawa masalah dalam kehidupan seharian.
Dalam hal ini, Islam memberi ruang untuk seseorang itu menikmati keinginan nafsunya dengan izin syarak. Namun sebagai hamba yang diciptakan untuk mematuhi perintah Allah maka cara dan etika dalam mengadakan hubungan suami isteri perlu dijaga.
Ini kerana jimak juga dikira sebagai ibadat. Dalam surah al-Baqarah, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
Dalam ayat ini Allah s.w.t. menggambarkan sebagai ladang atau kebun itu dengan tatacara yang beradab, walaupun ayat ini menyatakan datanglah kepada isteri-isteri kamu mengikut kamu suka.
Mengikut al-Raghib al-Asfahani, makna kebun itu adalah tempat kamu menanam benih zuriat kamu. Al-Jauhariy menegaskan bahawa “kebun dalam ayat ini adalah satu perumpamaan” manakala Ibn Abbas r.a. berpendapat: “siramlah tanaman kamu di mana ia boleh tumbuh”.
Allah memberikan kebebasan bagi suami isteri untuk menikmati jimak sesuai dengan kaedah dan cara yang dianggap sesuai menurut syarak. Maksudnya memenuhi kepuasan nafsu dengan tidak melampaui nilai dan adab.
Namun begitu, Islam juga menggariskan batas-batas jimak tersebut, seperti dilarang menjimak isteri ketika haid atau nifas, dilarang menjimak dubur isteri dan lain-lain.
Mengenai persoalan terminum susu isteri ketika bersetubuh sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Harus menghisap payu dara isteri ketika berjimak, tetapi jika isteri dalam tempoh menyusukan anak adalah lebih baik tidak menghisapnya sampai terminum susu dari tubuh isteri.
Ini kerana mungkin mulut si suami boleh membawa kuman dan anak yang menghisap susu itu boleh terdedah kepada sebarang jangkitan kuman. Perkara yang kedua ialah susu itu hak si anak dan bukan hak si suami. Walaupun dengan meminum susu si isteri tidak menjadikan lelaki itu bapa susuan.
Sekiranya perbuatan suami itu membawa mudarat kepada bayi dengan jangkitan kuman atau susu berkurangan, maka hukumnya haram.
Advertisements

Perkara Wajib Suami Lakukan Ketika Isteri Hamil

image

Ketika isteri mengandung, suami hendaklah benar-benar bertanggungjawab terhadap isteri kerana perasaan isteri sangat sensitif pada saat itu. Ia sangat memerlukan perhatian daripada suami yang disayanginya. Ada beberapa perkara yang perlu suami lakukan terhadap isteri yang sedang mengandung :

a. Suami hendaklah menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap isteri, menghargai isteri sebagai teman hidup yang paling rapat dengan anda..

b. Hendaklah berlaku jujur dan setia terhadap isteri serta menghindari daripada bersikap kejam terhadap isteri.

c. Selesaikan dahulu jika ada perselisihan faham yang berlaku dengan isteri sebelum masuk tidur. Jangan pentingkan diri sendiri dan membiarkan isteri anda tidur dalam perasaan sedih dan kecik hati pada anda.

d. Jangan mudah mengeluarkan perkataan kasar, kesat dan perkataan yg boleh mengguriskan hati isteri anda..

e. Ketika isteri hampir bersalin, suami digalakkan membaca doa berikut, ” La ila ha illa anta subha naka inni kun tu minadzolimin ” maksudnya ” Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau Maha Suci.Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang yang zalim. ”

f. Suami hedaklah kerap solat sunat dan mendoakan agar isteri dan anak sihat dan selamat..

g. Cuba sedaya upaya untuk berada disisi isteri semasa isteri sedang bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat pada anda… Banyak betul pengorbanan isteri untuk suami tercinta..

Wahai Kaum Adam… Hargailah Wanita sebaik-baiknya…

Love to share

Kesan Bela Kucing Ketika Hamil

image

SAYA ialah seorang penggemar kucing. Saya mempunyai 10 ekor kucing di rumah, kebanyakannya kucing kampung. Untuk pengetahuan doktor, saya sedang mengandung anak pertama dalam empat bulan. Saya tidak mengalami apa-apa alahan atau masalah perubatan semasa hamil. Kawan baik saya ada memberitahu akan masalah yang mungkin timbul kepada bayi dalam kandungan jika kita membela kucing. Mohon penjelasan daripada doktor?

Penggemar kucing, Selangor.

JAWAPAN:

Haiwan jinak seperti kucing sememangnya kerap dijadikan haiwan peliharaan di rumah. Tetapi sekiranya anda sedang hamil, mungkin anda perlu mengehadkan masa bersama dengan haiwan peliharaan khususnya dari segi pengendalian najis kucing. Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kehamilan. Keadaan ini berkait rapat dengan sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan juga dalam tanah.

Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui iaitu toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi dalam kandungan. Ini boleh mendatangkan ancaman jangkitan toksoplasma yang boleh memberi kesan kepada anak dalam kandungan. Ramai wanita dijangkiti oleh parasit toksoplasma tetapi tidak menyedari hakikat ini kerana parasit ini tidak memberikan tanda yang ketara.

Isu yang paling dikhuatiri ialah apabila jangkitan parasit itu dialami buat kali pertama ketika mengandung. Ramai ibu yang sedang hamil tidak mengetahui bahaya parasit berkenaan kerana ia tidak mendatangkan petanda luar biasa seperti sesak nafas atau demam tinggi.

Sebaliknya, ibu yang dijangkiti akan mendapat demam serta selesema biasa, kelenjar limfa membengkak, sakit otot, kekejangan dan sakit sendi. Gejala sebegini selalu dianggap ‘keadaan biasa’ oleh ibu hamil dan doktor yang merawatnya. Proses penyebaran boleh berlaku berpunca daripada najis haiwan peliharaan yang menyebabkan toksoplasmosis atau dalam dunia perubatan digelar jangkitan yang disebabkan oleh parasit toksoplasma yang menyerang jaringan saraf manusia.

Menjangkiti bayi

Seorang wanita yang dijangkiti sama ada sebelum atau semasa hamil, boleh menjangkiti bayi yang dikandung. Toksoplasmosis kongenital adalah satu masalah perubatan yang mana bayi dalam kandungan dijangkiti melalui uri (plasenta). Jika seorang wanita menerima pendedahan pertama kepada toksoplasmosis ketika mengandung, bayi akan berisiko tinggi. Risiko bayi termasuk mati dalam kandungan, buta mata dan kecacatan otak termasuk ‘retardasi mental’.

Jangkitan paling biasa diperolehi menerusi sentuhan dengan kucing serta najis mereka. Toksoplasma juga boleh dijangkiti apabila wanita mengendalikan daging mentah atau separuh masak.

Peringatan

Sebagai peringatan kepada wanita khususnya yang sedang hamil dan berusaha untuk hamil, anda perlu mengehadkan masa bersama haiwan atau pengurusan najis haiwan itu. Pengurusan najis haiwan ini boleh dilakukan oleh suami atau orang lain. Dengan cara ini moga anda dapat mengelak risiko jangkitan kali pertama ketika hamil. Lebih utama ia dapat mengurangkan risiko bayi menghidapi toksoplasmosis kongenital.

Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi yang mengesahkan jangkitan ini. Jika ibu disahkan mendapat jangkitan, ujian lanjutan seperti amniosintesis dan ujian imbasan ultrabunyi akan dilakukan ke atas bayi dalam kandungan. Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti, agar gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan.

RawatanRawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan. Sebaliknya, jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus. Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan dan terus diberi rawatan.

Langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden ia berlaku. Antaranya dengan membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan, mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna dimasak, membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak sebelum dimakan, menggunakan sarung tangan semasa berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan daripada menyentuh najis kucing.

Elakkanlah membela kucing semasa hamil sekiranya langkah ini sukar dilakukan.

Suami Ketika Isteri Keguguran

Keguguran biasanya akan memberi kesan emosi pada si isteri terutamanya. Apatah lagi jika bayi yang dikandung amat dinanti sekian lama.

Kebiasaan keguguran boleh berlaku sebelum minggu ke 24, yang mana 3 dari 10 kehamilan boleh terdedah kepada keguguran. Berlakunya keguguran tidak memberi makna yang anda akan keguguran lagi untuk kehamilan seterusnya malah pengalaman Mak Jemah sendiri yang pernah juga mengalami masalah keguguran, boleh mudah hamil untuk selepas itu.

bayi keguguran miscarriage

Pengalaman Keguguran Mak Jemah

Masih ingat lagi masa tu kandungan kedua, di mana keguguran berlaku sebelum minggu ke 16. Tiada apa tanda yang berlaku di hari tersebut. Hari tersebut adalah hari untuk rutin pemeriksaan biasa dengan pakar O&G.

Seperti biasa semasa scanning dibuat, doktor memberitahu sesuatu yang membuatkan Mak Jemah tak terdaya menerima. Doktor memberitahu tidak dapat mengesan heartbeat bayi. Bermaknanya tiada denyutan jantung. Mak Jemah memandang suami, masa ni tidak tahu apa perasaan yang datang.

Doktor menyatakan perlu membuat D&C (Dilation & Curettage) iaitu kena cuci kandungan. Memandangkan kandungan ini tidak gugur dengan sendiri maka esoknya doktor kata kena terus buat D&C.

Dalam lif menuju ke kereta baru air mata tumpah ke pipi. Tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Wajah suami juga penuh kesedihan kerana kami tidak menyangka berlakunya keguguran ini kerana semuanya berjalan lancar sebelum ini.

Pujukan suami akhirnya membuatkan Mak Jemah redha. Tidak mengapa, kita cuba lagi. Alhamdulillah selepas sebulan melakukan D&C, Mak Jemah hamil lagi. Jadi pada anda semua yang ada mengalami keguguran, ia bukan pengakhiran.

Apa Penyebab Keguguran?

Masalah keguguran yang berlaku pada usia kandungan 12 minggu selalunya disebabkan leh masalah kromosom itu sendiri. Manakala keguguran yang berlaku selepas 12 minggu biasa disebabkan oleh masalah kesihatan ibu sendiri atau masalah kesihatan yang serius pada bayi.

Keguguran biasanya tidak sangat memberi kesan pada fizikal wanita tetapi sangat memberi kesan pada emosi bakal ibu ataupun isteri.

Kenapa Keguguran Ini Berlaku?

kenapa wanita boleh gugur

Keguguran awal berlaku disebabkan masalah yang berlaku pada kromosom semasa proses percantuman ovum dan sperma.

Ia juga boleh disebabkan oleh faktor umur ibu. Semakin berumur si ibu, semakin menurun kualiti telur. Pada umur 30 tahun, risiko keguguran adalah 1 dalam 5 kehamilan.

Diusia 42 tahun, risiko keguguran menjadi lebih besar iaitu 1 dalam 2 kehamilan.

Faktor lain adalah gaya hidup. Ibu yang merokok atau mengambil ubat ubatan yang merbahaya boleh meninggikan lagi risiko ini.

Dan jangan terkejut jika faktor minuman juga memainkan peranan. Adalah dipercayai dengan mengambil lebih 2 cawan kopi atau teh akan meningkatkan risiko keguguran.

Faktor Lain Yang Boleh Menyebabkan Keguguran

Kegemukan juga menjadi faktor. Maka pada wanita yang ingin hamil, perhatikan diet anda dan jaga berat badan ideal.

Wanita yang mempunyai masalah diabetes atau darah tinggi juga harus berjaga-jaga kerana ia juga boleh mengundang masalah keguguran.

Tanda-tanda keguguran

Bagaimana nak tahu anda keguguran? Tanda biasanya datang dengan pendarahan pada vagina. Ia boleh jadi pendarahan luarbiasa lebih dari pendarahan haid biasa atau pun tanda spot berwarna coklat. Jika ada tanda-tanda ini cepat-cepat ke hospital.

Ada juga tanda ibu akan mengalami rasa kejang di bahagian pelvik. Tetapi ada juga ramai ibu yang tidak mengalami apa-apa tanda melainkan hanya akan dikesan semasa pemeriksaan ultrasound. Macam kes Mak Jemah, tiada langsung tanda-tanda tetapi dapat dikesan setelah proses ultrasound.

Bagaimana Suami Boleh Memainkan Peranan Memulihkan Emosi Isteri

sokongan suami semasa keguguran isteri

Semasa tempoh keguguran, emosi isteri adalah dalam keadaan yang tidak stabil. Maka ketika inilah suami sangat diperlukan berada di sisi.

Jika suami bekerja, cuba mengambil cuti beberapa hari berada di sisi isteri. Jadilah pendengar dan pendamping terbaik padanya ketika ini.

Isteri mungkin akan merasa bersalah atas keguguran yang berlaku, rasa teruk, rasa bimbang, akan menyalahkan diri sendiri. Yakinkan isteri supaya tidak menyalahkan diri.

Yakinkan isteri yang anda berdua masih oleh mencuba dan keguguran bukanlah penamat. Akan sentiasa ada peluang baru untuk anda berdua.

Biasanya isteri akan rasa lebih selesa dan mudah tenang jika adanya sokongan suami. Biarkan isteri menangis sementara untuk melegakan hati, dan selepas itu pujuklah isteri sebaiknya.

Kerana insan yang paling rapat dengan isteri adalah suami. Mainkan peranan sebagai suami sebaiknya terutamanya di saat seperti ini.

Kredit: Mak Jemah

Masalah Keputihan Semasa Hamil

Bismillah,

Keputihan yang disebabkan oleh keluaran lendir dari faraj seringkali boleh menimbulkan suasana ketidakselesaan dan kebimbangan di kalangan wanita.Perkara yang amat ditakuti sekali ialah jangkitan kuman (STD) seperti siplis dan gonorrhea iaitu penyakit –penyakit yang ditular menerusi hubungan seksual. Antara lain perkara yang merunsingkan wanita ialah kemungkinan mengidap penyakit kanser serviks..

Bagi gadis remaja yang belum berkahwin, pengeluaran keputihan akan menimbulkan tanda tanya samada mereka mengidap penyakit yang mengancam kesuburan mereka dan potensi mandul apabila berkahwin kelak.

Tentang peranan lendir di dalam faraj

Seperkara yang perlu difahami,pengeluaran lendir keputihan dari kemaluan tidak semestinya menandakan adanya penyakit. Di sebaliknya ia mungkin hanya aturan yang biasa sahaja. Lendir yang dikeluarkan oleh faraj dan pangkal rahim adalah untuk tujuan tertentu. Ia dikeluarkan oleh sel-sel dan kilang-kilang khas pengeluar lendir. Lendir ini mempunyai tugas pelindung kepada sel-sel dan dinding saluran faraj. Jika tanpa lendir, sel-sel tersebut akan menjadi kering dan rosak. Kekeringan faraj sering dialami oleh wanita-wanita yang telah putus haid (menopause) dan iini boleh menimbulkan masalah seperti rasa sakit sewaktu bersetubuh dan pendarahan dari dinding faraj.

Lendir faraj juga mempunyai peranan penting dalam peranan persetubuhan dan pengeluaran lendir bertambah banyak ketika naik syahwat dan ketika bersetubuh. Dalam keadaan demikian lendir adalah dikeluarkan oleh kelenjar bartholin yang khusus dan terletak di bibir faraj. Keluaran lendir dari faraj yang berlebihan boleh berlaku di kalangan gadis-gadis yang sedang di alam percintaan dan gadis-gadis yang tinggi syahwatnya.

Pangkal rahim (cervix) juga mengeluarkan lendir denga tujuan-tujuan tertentu. Lendir pangkal rahim memainkan peranan dalam percantuman di antara benih lelaki (sperm) dan benih perempuan (ovum) di dalam proses persenyawaan.

Lendir ini mempunyai daya untuk membekal makanan dan tenaga kepada benih-benih lelaki untuk beberapa hari dalam keadaan hidup jika sperma terletak di dalam lendir di pangkal rahim (pada kebiasaannya benih lelaki hanya hidup di antara 24-28 jam sahaja). Sifat dan keadaan lendir di pangkal rahim berubah dengan pusingan haid oleh sebab terpengaruh dengan perubahan paras hormon.

Apakah yang mengawal pengeluaran lendir?

Pengeluaran lendir dari faraj dipengaruhi oleh paras-paras hormon-hormon iaitu estrogen dan progesteron di dalam darah wanita. Hormon-hormon tersebut menambah bilangan kilang-kilang lendir dan membesarkan saluran-salutran kilang tersebut. Kenaikan dalam paras hormon tersebut , menambahkan lagi pengeluaran lendir dari dinding faraj dan pangkal rahim.

Keadaan ini sering kita temui apabila seorang wanita hamil. Ketika kehamilan kandungan hormon-hormon estrogen dan progesteron meningkat naik dan ini seringkali menyebabkan pengeluaran lendir yang berlebihan dari biasa.

Keadaan yang sama seringkali dialami oleh wanita-wanita yang memakan pil perancang keluarga kerana pil tersebut mengandungi kedua jenis hormon etsrogen dan progesteron. Wanita-wanita yang sedang dalam rawatan dengan ubat-ubat hormon oleh sebab penyakit-penyakit yang tertentu seperti endometriosis kadang-kala juga mengalami pengeluaran lendir yang berlebihan. Keadaan-keadaan tersebut di atas adalah dianggap sebagai fisiologi atau biasa dan tiada sebab untuk dibimbangkan.

Pengeluaran lendir yang berlebihan juga boleh berlaku disebabkan oleh gangguan jiwa seperti keadaan yang menimbulkan kesedihan atau kegembiraan yang teramat sangat. Begitu juga wanita-wanita yang bekerja kuat dan memerlukan tenaga fizikal yang banyak, pengeluaran lendir yang berlebihan juga boleh berlaku.

Sifat lendir yang normal

Pada kebiasaannya sifat dan rupa lendir atau keputihan itu adalah jernih , cair tanpa berbau dan tidak diiringi rasa gatal.

Keputihan sebagai tanda penyakit

Pengeluaran lendir atau keputihan boleh menandakan sejenis penyakit pada faraj dan sistem peranakan. Di dalam keadaan sedemikian, pada kebiasaannya lendirnya bersifat putih pekat, kelihatan seperti nanah, seringkali berbau busuk serta diiringi rasa gatal-gatal pada sekeliling faraj. Adakalanya warna lendir itu berwarna kemerahan atau coklat kerana bercampur darah. Ini adalah tanda yang perlu diawasi kerana ada kemungkinan besar ada sejenis jangkitan kuman berlaku.

Jenis-jenis jangkitan kuman,gejala & komplikasinya

Beberapa jenis kuman boleh menjangkiti faraj, rahim dan saluran fallopian. Sesetengah daripada jangkitan kuman hanya terhad kepada faraj tanpa melibatkan rahim dan saluran fallopian. Keadaan ini tidak begitu membahayakan. Tetapi apabila jangkitan kuman merebak kepada saluran fallopian di antara perkara-perkara yang akan timbul dalam jangka-masa panjang ialah kemandulan, masalah haid, kesakitan dan lain-lain.

Bacterial vaginosis (BV)

Selalunya berlaku kepada 10-30% wanita dalam usia reproduktif mereka. Di dalam faraj seseorang wanita terdapat bakteria baik (lactobacillus) yang bertugas mengimbangi keadaan asidik sejurus memberi pelindungan dalam faraj dari bakteria yang berbahaya. BV terhasil apabila bakteria jahat seperti Gardnerella vaginalis dan genital mycoplasma tumbuh lebih banyak dari bakteria baik lactobacillus. Wanita berisiko tinggi untuk mendapat BV termasuk wanita yang muda (remaja), pengamal vaginal douching (kerap membasuh faraj dengan air atau sabun), IUCD (alat mencegah mengandung dalam rahim) dan mereka yang mempunyai ramai pasangan seks.

50% daripada BV tiada gejala. Bagi mereka yang mengalami gejala, selalunya akan mempunyai lendiran putih-keputihan yang banyak dan berbau busuk. Gejala ini lebih teruk selepas hubungan seksual atau selepas haid. Faraj dan kawasan kemaluan selalunya tidak bengkak.

Candida Albican (Kulat)

Dua pertiga dari wanita akan mengalami masalah ini. Majoriti organisma yang bertanggung jawab adalah sejenis kulat (Candida albican). 50% dari mereka yang berjangkit mengadu gatal di bahagian faraj (Pruritis). Lendiran putih pekat (seperti dadih), tidak berbau dan menyebabkan faraj melecet dan sakit semasa hubungan kelamin. Wanita yang berisiko tinggi adalah wanita mengandung, mengidap kencing manis ataupun mengambil antibiotik bagi jangkamasa agak panjang.

Chlamydia trachomatis

Penyakit ini kerap menjangkiti pesakit yang berumur 25 tahun ke atas. Organismanya bukan bakteria atau virus tetapi parasit yang suka tinggal di dalam sel-sel faraj pesakit. Penyakit ini boleh menjangkiti salur kencing dan pangkal rahim termasuk konjuktiva, mulut dan tekak. Ia merupakan penyakit kelamin yang boleh membawa kepada kesukaran mengandung.

Simtom dan tanda-tanda.

Lendiran bernanah, sakit bahagian ari-ari, pendarahan selepas hubungan seks, pendarahan di antara dua haid dan radang serviks adalah antara simtom-simtom penyakit ini. Walau bagaimanapun, kebanyakkan wanita tidak mengalami apa-apa tanda.

Komplikasi

jangkitan chlamydia boleh ‘naik’ ke dalam rahim dan menyebabkan radang pangkal rahim,rahim, tiub dan alat kelamin wanita. Pesakit juga akan mengalami sakit di bahagian ari-ari dan perut yang teruk. Tiub saluran Fallopian boleh tersumbat menyebabkan mengandung luar rahim atau ketidaksuburan.

Nesseria gonorrhoea

Gonorrhoea adalah penyakit kelamin yang disebabkan oleh organisma N. Gonorrhoea. Pesakit selalunya tidak mempunyai simtom tetapi bagi mereka yang bersimtom, akan mengalami lendiran faraj yang selalunya banyak, bernanah dan sakit di bahagian ari-ari. Kadangkala mereka mengalami pendarahan faraj selepas haid atau selepas hubungan seks. Komplikasi jangkitan semasa mengandung boleh membawa kepada kelahiran pra-matang.

Komplikasi

Komplikasi sama seperti chlamydia iaitu jangkitan dari faraj boleh merebak ke dalam rahim menyebabkan radang pangkal rahim, rahim dan saluran tiub. Ia boleh menyebabkan tiub rosak dan tersumbat. Ini boleh membawa kepada komplikasi mengandung luar rahim dan ketidaksuburan.

Lelaki samada pasangan atau suami boleh mengidap gonorrhea walaupun tidak mengalami apa-apa tanda penyakit tetapi ia hanya menyimpan kuman tersebut di dalam kemaluannya dan boleh menjadi sumber penularan dari satu mangsa ke mangsa lain
.
Trichomonas vaginalis (T.V.)

T. vaginalis adalah penyakit kelamin yang melibatkan hingga 30% wanita yang aktif seks di negara-negara membangun. Organisma yang bertanggung jawab adalah protozoa yang hanya terdapat di dalam faraj wanita. Seseorang yang mendapat infeksi T.V. akan mengalami bengkak faraj, lendiran yang berwarna hijau (atau apa-apa warna) yang berbuih. Infeksi tersebut boleh merebak ke dalam rahim menyebabkan bengkak pangkal rahim, rahim, tiub dan radang alat kelamin. Pesakit juga boleh mengalami gatal faraj dan di bahagian kemaluan. Simptom selalunya lebih teruk semasa haid atau sejurus selepas haid.

Pilihan Rawatan Moden Dan Alami

Selain dari protokol rawatan yang lazim seperti pengambilan antibiotik atau antifungal terdapat juga rawatan herba alternatif yang didapati sama berkesan dan juga seimbang dan tanpa kesan sampingan bagi merawat jangkitan keputihan khususnya jangkitan kulat candida albican,bacterial vaginosis dan trichomonas vaginalis.Rawatan alternatif ini amat sesuai bagi mereka yang merasa malu untuk mengizinkan faraj mereka dilihat dan diperiksa oleh doktor,lebih-lebih lagi oleh seorang doktor pakar lelaki.


Antara Beberapa Tips Pilihan Yang Baik Jika Di Amalkan

  1. Hindari pengunaan sabun, gel dan sebagainya.Hanya gunakan air suam bersih bagi mencuci bahagian luar faraj, atau gunakan pembersih peribadi khas yang mempunyai pH3.8-4.2
  2. Elakkan menyembur dengan air kedalam faraj ianya boleh menganggu keseimbangan flora bakteria didalam faraj dan boleh menyebabkan jangkitan
  3. Selalu keringkan dahulu faraj sebelum memakai seluar dalam dan jangan sesekali memakai seluar dalam yang lembab untuk jangka waktu yang lama
  4. Hindari dari memakai bedak di kawasan kemaluan disebabkan partikel-partikel halus yang mudah terselit dicelah kulit boleh mengundang bakteria bersarang
  5. Pastikan kerap menukar pad sewaktu haid dan elakkan pengunaan yang terlalu lama
  6. Gunakan alas seluar dalam (panty liner) jenis “unscented” dan ada pengaliran udara untuk mengurangkan lendiran dan radang pada kemaluan. Elakkan wangian dan pencuci antiseptik kerana perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan.
  7. Pastikan mencuci dubur selepas membuang”hajat”dilakukan dengan betul iaitu sapu dari depan tolak kebelakang,ini boleh mengelakkan bakteria di dubur seperti e coli atau cacing kerawit masuk kedalam lubang faraj atau kencing
  8. Cuba sedaya upaya untuk mengamalkan diet bersumberkan bakteria baik seperti yogurt, yakult, sayuran hijau, bendi sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi menguatkan pertahanan tubuh dari diserang mikroorganisma patogen lain.

Semoga Bermanfaat

Kesan Diabetis Semasa Hamil

Adakah anda hamil dan mengalami kencing manis ketika hamil?

image

Tentunya anda hairan kerana sebelum hamil, anda tidak pernah mempunyai sebarang masalah.

Tahukah anda, keadaan ini dipanggail sebagai “gastational diabetes”. Kebiasaannya terjadi disebabkan oleh paras gula (glukos) melebihi paras normal. Keadaan jangka pendek ini berlaku semasa hamil sahaja dan paras gula tersebut kembali ke paras normal selepas bersalin.

Perubahan Metabolisma Dalam Badan Penyebab Kehadiran Kencing Manis

Pankreas kita akan menghasilkan hormon dipanggil insulin, dimana tugasnya ialah membantu gula dalam darah (glukos) untuk masuk ke dalam sel untuk digunakan atau disimpan.

Apabila seseorang wanita hamil, plasenta akan menghasilkan hormon yang dapat membantu untuk tumbesaran dan pembangunan seseorang bayi.

Hormon tersebut menyebabkan sel-sel ibu menjadi kalis terhadap insulin dan membawa kepada kalis insulin.

Disebabkan itu, pankreas ibu perlu bekerja keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin mengatasi masalah sel kalis terhadap insulin. Jika persediaan pankreas adalah bagus, insulin yang dihasilkan akan meningkat untuk memenuhi keperluan si ibu.

Bagaimana pula jika persediaan pankreas adalah terhad?

Maka penghasilan insulin menjadi tidak mencukupi dan paras gula dalam darah akan meningkat setrusnya ibu yang hamil akan mengalami kencing manis.

Kebiasaannya ia akan bermula selepas 3 bulan hamil, ini adalah kerana plasenta telah membesar dan dapat menghasilkan lebih banyak hormon.

Apakah Simptom – Simpton Kencing Manis Ketika Hamil?

Pada kebiasaannya penyakit ini dapat dikesan melalui ujian air kencing dan ujian darah ketika hamil. Sekiranya anda sudah mempunyai kencing manis daripada sebelum hamil, maka ianya menjadi lebih sukar dikawal semasa hamil. Sekiranya anda mempunyai simptom – simptom seperti berikut, sila berjumpa dengan doktor anda dengan segera.

Sentiasa dahaga

Kehilangan berat badan

Makan dalam kuantiti banyak

Kerap kencing

Keletihan tanpa sebab

Apakah Risiko Yang Terjadi Kepada Ibu Dan Anak?

1) Risiko Pada Ibu

Mendapat pre-eclampsia (tekanan darah tinggi dan lebihan protein dalam air kencing)
Jangkitan vanigal moniliasis (jangkitan faraj)
Jangkitan pada luka bersalin menyebabkan luka lambat sembuh
50% boleh menghidap diabetes tahap kedua di kemudian hari
2) Risiko Pada Bayi

Bayi mati dalam kandungan
Saiz bayi terlalu besar
Berisiko untuk hipogliseme (terlalu banyak insulin, gula dan mineral penting dalam darah terlalu rendah menjejaskan tumbesaran)
Bayi kuning (jaundice)
Bayi sukar bernafas
Air ketuban berlebihan (polyhydramnions) yang membawa kepada kelahiran pra-matang dan kematian bayi dalam kandungan
Lebih mudah mendapat obesiti atau kencing manis ketika dewasa.

Amalan Pemakanan Yang Harus Diambil Oleh Pesakit Kencing Manis Ketika Hamil

Salah satu sumber tenaga bagi badan anda ialah gula (glukos). Badan anda menggunakan sejenis hormon yang dipanggil insulin untuk mengawal jumlah gula dalam darah dan menukarkan kepada bahan bakar untuk digunakan oleh badan. Jika anda menghidap kencing manis ketika hamil, badan anda tidak dapat menghasilkan cukup insulin.

Cara yang terbaik untuk mengawal gula dalam darah adalah dengan mengubah cara pemakanan dan bersenam setiap hari. Tetapi harus diingatkan juga, anda perlu berhati – hati ketika berdiet untuk mengelakkan daripada tahap gula dalam darah tidak meningkat atau naik mendadak.

Kesan Gusi Berdarah Ketika Hamil

Gusi berdarah ketika hamil, bukan lah satu situasi yang pelik. Ianya normal. Yang tidak hamil pun kadang-kadang mengalami masalah gusi berdarah. Apa punca gusi mudah berdarah apabila hamil? Bila hamil, bukan sahaja bentuk badan yang berubah, tapi gusi juga akan jadi lebih lembut dan sensitif.

image

Apa yang berlaku bila gusi jadi lebih lembut? Semua ini akan dihuraikan dalam entri ini..insyaaAllah amat membantu untuk ibu hamil yang mengalami keadaan gusi yang mudah berdarah.

Punca gusi berdarah

Ada 2 sebab iaitu :-

Berlaku pengumpulan plak pada gigi. Perubahan hormon semasa hamil boleh membuat gusi ibu hamil lebih terdedah kepada plak, yang membawa kepada keradangan dan pendarahan. Ini juga dikenali sebagai gingivitis kehamilan atau penyakit gusi.

Perubahan hormon semasa hamil juga boleh menyebabkan membran mukus membengkak. Akibatnya gusi juga membengkak.

Bahaya ke gusi berdarah ni pada kandungan?

Mungkin merbahaya dan mungkin juga tidak. Akan jadi merbahaya bila gingivitis berkembang menjadi keadaan yang lebih serius dipanggil periodontitis.

Periodontitis boleh melemahkan tulang-tulang dan tisu-tisu yang mencengkam gigi pada rahang. Periodontitis yang tak dirawat pulak boleh menyebabkan gigi tercabut. Dh tercabut, takde dah gigi baru tumbuh ya. Ada kajian juga telah menunjukkan bahawa periodontitis semasa hamil boleh meningkatkan risiko bayi pramatang atau praeklampsia.

Macam mana nak atasi gusi berdarah ketika hamil?

Tak lain dan tak bukan adalah jaga kebersihan gigi dan mulut. Cara nak jaga gusi dan gigi adalah

Bersihkan gigi dengan teliti 2 kali sehari selama 2 minit

Floss setiap hari.

Berus lidah untuk minimakan jumlah bakteria berkumpul dalam mulut

Guna berus gigi berkepala kecil dengan filamen lembut – pastikan ia selesa untuk dipegang.

Elakkan minuman manis (seperti minuman bergas atau teh manis) dan makanan manis terlalu kerap

Jika anda lapar antara waktu makan, amalkan makan snek pada sayur-sayuran dan elakkan makanan bergula atau berasid.

Elakkan ubat kumur yang mengandungi alkohol.

Jika  loya dan muntah,kumur mulut dengan air kosong. Ini akan membantu mencegah asid dalam muntah anda menyerang gigi.

Jangan berus gigi anda dengan segera kerana ia akan dilembutkan oleh asid dari perut anda. Tunggu kira-kira sejam sebelum memberus.

Makan dengan betul. Pastikan cukup kandungan Vitamin C dan Kalsium yang diperlukan ketika hamil.

#perkongsian