Pendarahan Semasa Hamil

BANYAK punca pendarahan semasa mengandung. Kalau diikutkan kedudukan anatomi, pendarahan mungkin dari luaran faraj iaitu pada vulva, faraj, pangkal rahim dan mungkin juga dari komplikasi mengandung.

Kadangkala, pendarahan berlaku dari buasir yang terjadi ketika mengandung. Pendarahan yang sedikit lazimnya akan berhenti dengan sendiri.

Ada jenis pendarahan, bergantung kepada puncanya, boleh memudaratkan kandungan. Namun, tidak kira jumlah pendarahan, puan patut bergegas berjumpa dengan doktor untuk penelitian segera.

Artikel ini akan menfokuskan pada penyebab pendarahan, tanda-tanda masalah yang mengiringi dan juga apa-apa yang patut puan lakukan.

Pendarahan peringkat awal kandungan

Pendarahan yang dimaksudkan ini berlaku pada dan sebelum kandungan berusia 12 minggu. Pendarahan juga boleh berlaku pada pangkal rahim selepas hubungan kelamin.

Jangkitan pada pangkal rahim juga boleh berdarah. Sekiranya puan mengandung dan berdarah melalui faraj, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan menggunakan alat spekulum untuk meneliti bahagian-bahagian dalaman yang boleh berdarah dan selepas itu, mungkin pemeriksaan dilakukan untuk memastikan yang pangkal rahim tidak terbuka.

Ada juga doktor yang memeriksa pangkal rahim dengan menggunakan kaedah ultrasound.

Puan perlu maklumkan kepada doktor mengenai kesakitan dan juga jumlah darah yang turun, di samping apa-apa yang puan lakukan sebelum berlakunya pendarahan.

Sekiranya pendarahan berlaku dan puan memang disahkan mengandung, perhatian lebih perlu diberikan kerana puan berisiko tinggi untuk mengalami kelahiran pramatang, kemungkinan anak yang kecil dari biasa dan juga mungkin keguguran.

Di sesetengah hospital termaju, ukuran darah ‘human chorionic gonadotropin’ dijalankan untuk mengetahui status tumbesaran janin. Penting sekali semasa pendarahan, faktor rhesus darah puan bukannya negatif.

Jika rhesus negatif, bermakna tindak balas telah berlaku dan puan perlu dirawat supaya komplikasi tidak berlaku terhadap kandungan pada masa hadapan.

Keguguran

Pendarahan tidak semestinya diikuti dengan keguguran. Walaubagaimanapun, doktor akan melakukan pemeriksaan ultrasound untuk penentuan kesihatan janin.

Keguguran lazimnya berlaku sebelum 13 minggu kandungan. Antara tanda-tanda awal kemungkinan keguguran akan berlaku termasuk:

  • Pendarahan melalui faraj
  • Kekejangan yang dirasakan di bahagian bawah berhampiran dengan kawasan pundi kencing, lazimnya, kekejangan ini dirasai lebih sakit dari senggugut.

  • Keluarnya tisu-tisu ataupun ketulan darah melalui faraj.

Kadangkala, kandungan mungkin masih awal dan puan mengalami keguguran dan tisu yang keluar dihantar ke makmal untuk pengesahan tisu janin.

Di sini kehadiran vili korionik akan diperhatikan. Pemeriksaan ultrasound juga dilakukan supaya tidak berlakunya ketinggalan tisu di dalam rahim.

Sekiranya puan disahkan mengandung melalui ujian air kencing, maklumkan kepada doktor untuk mengemaskinikan rekod kesihatan puan.

Kebanyakan keguguran tidak dapat dibantu dan dielakkan. Namun, tiada bukti saintifik meyakinkan yang hubungan kelamin dan juga bersenam menyebabkan keguguran.

Pekerjaan dan ketegangan akibat kerja juga tidak menyebabkan keguguran. Sekali keguguran tidak semestinya kandungan berikutnya akan berakhir sama dengan pengalaman pertama.

Keguguran juga tidak mencerminkan yang kesihatan puan tergugat. Cuma sekiranya keguguran berlaku dua kali berturut-turut, doktor mungkin akan mencadangkan ujian-ujian serta pemeriksaan kesihatan lanjut supaya keguguran kali ketiga (berturutan) tidak berlaku.

Mengandung di luar rahim

Kebarangkalian mengandung di luar rahim adalah kecil berbanding dengan keguguran. Mengandung di luar rahim merupakan satu kegawatan perubatan disebabkan pendarahan dalaman yang berlaku dan boleh mengakibatkan kesakitan, kelesuan serta kematian.

Itulah sebabnya penting sekali sekiranya puan melakukan hubungan kelamin, dan tidak pula mempraktiskan kontraseptif, menjalani ujian air kencing mengandung apabila darah bulanan tidak datang mengikut sepatutnya.

Puan berisiko tinggi untuk mengandung di luar rahim sekiranya:

  • Puan pernah dirawat untuk jangkitan di kawasan pinggul.
  • Pernah mengalami mengandung di luar rahim.

  • Pernah menjalani pembedahan tiub falopian.

  • Pendarahan penghujung tempoh mengandung

    Penyebab pendarahan pada trimester terakhir mengandung berbeza dengan tempoh awal mengandung.

    Pendarahan yang sedikit mungkin disebabkan oleh keradangan pangkal rahim dan juga mungkin oleh ketumbuhan kecil pada pangkal rahim. Lazimnya pendarahan yang banyak ada kaitan dengan uri.

    Dua keadaan di mana uri berdarah adalah apabila uri terpisah dari dinding rahim dipanggil placental abruption dan uri yang berada di bawah, iaitu di bahagian segmen bawah rahim dan dipanggil placenta praevia.

    Kesakitan dan juga kontraksi pramatang boleh membawa kepada pendarahan. Pendarahan yang berlaku pada tempoh terakhir kehamilan ini memudaratkan kesihatan janin dan mungkin kelahiran awal disyorkan.

    Placental abruption

    Uri secara amnya melekat di dinding rahim, sebagaimana stem ditampal di dinding belon. Uri mungkin terpisah dari dinding rahim pada waktunya atau sebelum sakit bersalin.

    Terpisahnya uri menyebabkan kesakitan dan rahim terus berkontraksi tanpa rehat diantaranya, menyebabkan rahim dirasai seperti dinding batu.

    Pendarahan mungkin tersembunyi di belakang uri, keluar mencurah, atau mungkin juga kombinasi kedua-duanya.

    Nyawa janin tergugat apabila uri tercabut kerana janin akan mengalami kekurangan bekalan oksigen dan kemungkinan kematian berlaku sekiranya tidak dilahirkan dengan segera.

    Kejadian uri tercabut biasanya berlaku pada 12 minggu terakhir kandungan. Mereka yang berisiko tinggi adalah:

    • Mereka yang sudah mempunyai anak.
  • Berumur melebihi 35 tahun.

  • Pernah mengalami kejadian uri tercabut pada kandungan sebelum ini.

  • Darah tinggi.

  • Trauma pada abdomen, seperti jatuh, ditumbuk, ditendang, mengurut perut oleh mereka yang bukan terlatih.

  • Ibu-ibu yang merokok.

  • Ibu-ibu yang menyalahgunakan dadah terutamanya dadah jenis kokain.

  • Placenta praevia

    Uri yang kedudukannya pada segmen bawahan rahim, kehadiran uri di bawah menghalang mekanisme pergerakan janin untuk proses kelahiran.

    Lazimnya pendarahan akibat uri yang kedudukannya di bawah tidak menyakitkan. Ibu-ibu yang berisiko tinggi termasuklah:

    • Mereka yang pernah mengandung dan melahirkan anak.
  • Pernah menjalani kelahiran secara pembedahan caesarean.

  • Sejarah pembedahan pada rahim.

  • Pada kandungan sekarang, kandungannya kembar ataupun lebih dari dua.

  • Seperti juga uri yang terlucut, pendarahan uri yang kedudukannya di bawah juga satu keadaan kecemasan obstetrik dan janin perlu dilahirkan segera.

    Tanda-tanda akan bersalin

    Pada tempoh terakhir mengandung, puan akan mengalami kontraksi dan lama kelamaan akan diikuti dengan kesakitan yang berlaku selepas setiap kontraksi.

    Pangkal rahim akan terbuka, dan darah serta mukus yang seolah- olah sebagai baji di pangkal rahim terkeluar melalui faraj.

    Ini petanda yang puan sedang mengalami proses untuk bersalin. Kehadiran darah serta mukus ini dipanggil sebagai ‘tanda-tanda’.

    Kejadian ini dikira normal sekiranya ia berlaku dalam masa tiga minggu sebelum tarikh kelahiran yang diramalkan.

    Sekiranya ‘tanda-tanda’ ini berlaku sebelum tempoh tiga minggu tersebut, puan mungkin mengalami kontraksi pra matang.

    Dalam kedua-dua keadaan tersebut, puan harus bergegas berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan lanjutan. Tanda-tanda yang memungkinkan kelahiran pra matang adalah seperti:

    • Discaj dari faraj makin banyak.
  • Perubahan sifat discaj tersebut dari berair ke bermukus dan kemudiannya berdarah.

  • Rasa penekanan yang bertambah pada tulang pinggul dan juga pada bahagian bawah abdomen.

  • Sakit belakang menjadi-jadi.

  • Kekejangan otot-otot abdomen, mungkin juga dengan kekerapan membuang air besar.

  • Bertambahnya frekuensi kontraksi rahim serta intensitinya, lazimnya makin kerap dalam tiga kontraksi setiap 15 minit dan meningkat.

  • Pendarahan melalui faraj jangan dipandang ringan, lebih-lebih lagi sekiranya pendarahan ini berlaku pada penghujung tempoh kandungan.

    Mungkin puan terpaksa dimasukkan ke wad perbidanan, darah diambil secara berkala untuk pemeriksaan hemoglobin, pemeriksaan ultrasound, kemungkinan terpaksa menjalani pemindahan darah, pemeriksaan degupan jantung janin dan sebagainya, bergantung kepada situasi semasa puan, kandungan serta keselamatan janin.

    Advertisements

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s